Oleh Nazarali Saeril dan Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jangan sekali-kali pandang rendah atau hina pada diri sendiri akibat dirogol kerana Tuhan berlaku adil kepada setiap hamba-Nya, malah pasti ada kebaikan kepada mangsa sebagai ganjaran di atas kesabaran serta kesusahan yang pernah mereka alami.

Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Johor Mohamad Halimi Kolan berkata, apa yang berlaku membabitkan Saidina Umar al-Khattab perlu dijadikan penguat semangat serta contoh kepada individu yang berasakan diri mereka lemah ditimpa sesuatu musibah.

“Umar pada zaman jahiliah turut membunuh anak perempuannya, namun Rasulullah SAW tidak pernah berhenti berdoa kepada Allah SWT supaya membuka pintu hati Umar memeluk Islam.

“Allah SWT tunaikan doa baginda dan Umar akhirnya diberi hidayah memeluk Islam. Selepas itu, Umar pula yang menjadi orang kanan Rasulullah SAW untuk bersama-sama baginda serta sahabat bagi mengembangkan Islam.

“Lihat bagaimana Allah SWT menaikkan darjat hamba-Nya daripada seorang yang kufur kepada pejuang Islam. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja hatta mangsa rogol dan kerana itu, mangsa terbabit perlu berusaha membuang rasa trauma bagi membolehkannya meneruskan rutin seharian seperti sebelum tragedi itu,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai trauma dahsyat dialami mangsa rogol hinggakan ada yang sanggup berkurung lima tahun di dalam rumah kerana tidak sanggup berdepan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 8:29 AM