MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Gua Musang: Kegembiraan dua beradik mandi di sungai berakhir tragedi apabila seorang daripadanya ditemui lemas dalam kejadian di Kampung Batu Dua Kuala Nerus, di sini, semalam.

Mayat Nik Muhammad Aimin Nik Matmad Nor, 7, ditemui 200 meter dari lokasi kejadian kira-kira jam 1.50 petang oleh penduduk kampung.

Sebelum kejadian, pada jam 12.30 tengah hari, mangsa bersama abangnya, Nik Mohd Arif, 8, berjalan kaki sejauh dua kilometer ke Sungai Galas untuk mandi.

Ketika dalam perjalanan, dua beradik itu ditegur seorang penoreh getah yang melarang mereka mandi di sungai, namun tidak diendahkan.

Nenek mangsa, Nik Mah Nik Ibrahim, 60, berkata, arwah cucunya menunjukkan sikap pelik apabila suka bermuram dan memintanya menemani makan nasi.

“Saya memujuknya makan nasi dengan cepat kerana hari sudah lewat sebelum beredar ke ruang tamu untuk tidur,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nik Mah berkata, cucunya itu tinggal bersamanya selepas ibu mangsa, Wan Rosnani Wan Yusof, 36, menghantar suaminya, Nik Matmad Nor Nik Him, 40, bekerja di sebuah kilang papan berdekatan.

“Saya sedar kedua cucu hilang pada jam 11 pagi dan cuba mencari mereka di sekitar rumah, tetapi gagal sebelum dimaklumkan jiran cucu saya lemas di sungai.

“Saya kemudiannya ke sungai untuk melihat sendiri operasi mencari cucu tersayang,” katanya.

Ibu kanak-kanak itu, Wan Rosnani berkata, anak keempat daripada lima beradik itu tidak pernah mandi sungai ekoran rumahnya jauh dari sungai.

“Sejak cuti sekolah, kami tinggal di rumah ibu mentua dan kedua anak mengambil kesempatan berjalan ke Sungai Galas untuk mandi sebelum lemas,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.13 petang.

“Empat anggota bomba bergegas ke lokasi dan mayat mangsa ditemui pada jam 1.50 petang. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 9:56 AM