KOH sebak di sisi mayat kakaknya yang lemas di Pulau Sibu.
Oleh Mohd Sah Muda

Mersing: Kegembiraan tujuh rakan melakukan aktiviti snorkeling untuk melihat keindahan dasar laut di perairan Pulau Sibu, di sini, kelmarin, berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Choo Tei Chee, 31, bersama enam rakannya melakukan aktiviti menyelam di bekas tapak kelong di perairan pulau berkenaan.

Bagaimanapun, apabila mereka naik semula ke permukaan air, rakannya terkejut apabila mendapati mangsa tidak timbul menyebabkan mereka cuba mencarinya, tetapi selepas dua jam, kelibat mangsa tidak kelihatan.

Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan M Kumar berkata, rakan mangsa kemudiannya membuat laporan di Pondok Polis Pulau Sibu, di sini, untuk mendapatkan bantuan mencari mangsa.

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM), kakitangan resort dan penduduk kampung dilancarkan. Bagaimanapun, sehingga lewat malam kelmarin, mangsa gagal ditemui.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 8:00 AM