ABU Bakar (kanan) menunjukkan pocong yang dijumpai. Gambar kecil, kerongsang yang dilekatkan.
Oleh Ahmad Othman

Kota Tinggi: Penemuan ‘pocong’ yang diikat pada sebatang pokok pisang di Taman Kota Jaya, di sini, semalam, disifatkan penduduk sebagai gurauan melampau yang dilakukan kumpulan budak nakal.

Penemuan objek berbentuk jenazah yang dikafankan setinggi 1.5 meter diikat pada sebatang pokok pisang di persimpangan Jalan Nangka-Jalan Belinjau dan Jalan Pintas Kampung Kelantan itu menggemparkan orang ramai kerana menyangkakan ia makhluk halus yang mengganggu penduduk.

Seorang penduduk, Abu Bakar Adon, 62, berkata, dia bergegas ke lokasi berkenaan selepas dimaklumkan penduduk dengan penemuan lembaga yang disangka pocong itu pada jam 6.30 pagi.

Katanya, kewujudan objek itu menyebabkan orang ramai yang menggunakan laluan berdekatan termasuk kanak-kanak yang ingin ke sekolah ketakutan kerana menyangkakan ia hantu pocong.

“Saya dan beberapa penduduk ke kawasan yang dimaksudkan dan selepas diperhatikan dengan teliti, ia bukannya hantu pocong seperti yang disangkakan.

“Ia sebenarnya objek menyerupai jenazah yang dikafankan, tetapi diikat pada sebatang pokok pisang dan jika diteliti, ia jelas adalah perbuatan pihak tertentu yang sengaja mahu menakutkan orang ramai yang lalu-lalang di sini,” katanya.

Abu Bakar berkata, beberapa anggota polis yang tiba di lokasi beberapa minit selepas dimaklumkan mendapati objek itu mengandungi gumpalan kapas dan kekabu membentuk seperti susuk tubuh manusia yang dikafankan.

Seorang penduduk, K Subramanian, 48, berkata, dia yakin tindakan berkenaan adalah angkara perbuatan kumpulan budak nakal yang sengaja mahu menimbulkan ketakutan orang ramai.

“Kawasan ini menjadi laluan penting penduduk di kawasan berhampiran, jadi saya fikir pihak melakukan kerja tidak berfaedah ini hanya mahu menakutkan orang ramai sahaja.

“Bagaimanapun, penduduk menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan kepada pihak yang bertanggungjawab kerana perbuatan seperti ini hanya menyebabkan ketakutan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:10 AM