Batu Gajah: Seorang suami yang bergerak menggunakan tongkat selepas terbabit dalam kemalangan tahun lalu mengerah kudrat untuk menyelamatkan isterinya yang berpantang dan bayinya berusia 20 hari apabila rumah mereka terbabit dalam kebakaran, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari di Kampung Bakap di sini, mangsa, Samsuddin Ismail, 32, menyelamatkan isterinya, Asniza Jaafar, 33, yang tidur bersama bayi mereka di dalam bilik berdekatan dapur ketika api sedang marak.

Samsuddin berkata, kebakaran itu berpunca daripada dapur gas yang dibuka bapanya ketika ingin memasak air sebelum api secara-tiba menyambar dinding kayu di bahagian dapur rumah mereka.

Katanya, bapanya menjerit memanggilnya menyebabkan dia terkejut apabila melihat api mula marak membakar dinding serta bumbung dapur.

“Saya panik dan hanya teringatkan isteri serta anak di dalam bilik berhampiran, namun saya dikelilingi api menyebabkan saya terpaksa keluar menerusi pintu dapur dan masuk semula melalui pintu hadapan.

“Keadaan kelam-kabut sebelum saya mengarahkan ayah menyelamatkan diri dan saya masuk ke dalam bilik menyelamatkan isteri serta anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, tiada barangan berharga atau dokumen yang dapat diselamatkan disebabkan keadaan kelam-kabut dan menganggarkan menanggung kerugian RM12,000 selepas sebahagian rumahnya musnah.

“Penduduk kampung berusaha memadamkan kebakaran sementara menunggu bomba datang disebabkan laluan masuk ke rumah saya sempit dan jentera bomba tidak boleh memasukinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Halid Md Zin berkata, pihaknya yang menerima panggilan bergegas ke tempat kejadian dan api dikawal setengah jam selepas itu.

Katanya, laluan ke rumah berkenaan yang sempit menyukarkan kerja pemadaman, namun anggota mengawal kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api dan dua aliran air hos melalui satu pili bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:11 AM