Muar: Penduduk Kampung Tengah, di sini, mempunyai kenangan yang tidak dapat dilupakan bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, apabila Baginda sudi mencemar duli untuk menyediakan bubur lambuk bersama rakyat di kampung berkenaan pada Ramadan 2012.

Ketua Kampung Tengah, Rashid Elias berkata, sebaik menerima panggilan telefon dari Pejabat Daerah Muar yang memaklumkan Sultan Johor akan ke kampung itu, ia menyebabkan timbul kebimbangan berhubung persiapan menyambut kedatangan baginda.

Rashid berkata, kunjungan baginda ke kampung itu adalah bagi menyaksikan sendiri penduduk bergotong-royong membuat bubur lambuk untuk juadah berbuka puasa di pekarangan Masjid Jamek As-Syakur sempena Program Kembara Ramadan 1433.

“Baginda yang disertai Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan anakanda bongsu baginda, Tunku Abu Bakar menyapa kami dengan mesra sebaik masuk ke pekarangan masjid,” katanya.

Rashid berkata, baginda juga tidak berasa kekok untuk mengambil bahagian mengacau sendiri bubur lambuk, malah sempat berseloroh dengan menyatakan bubur yang dikacau baginda lebih sedap berbanding tiga kawah lain yang dikacau penduduk kampung ketika itu.

Katanya, baginda turut menunjukkan kepada Tunku Abu Bakar cara-cara mengacau bubur lambuk sebelum menitahkan putera baginda melakukannya sendiri.

“Peristiwa bersejarah kunjungan Sultan Ibrahim ke Kampung Tengah tetap menjadi kenangan manis kepada penduduk berikutan keramahan baginda ketika bermesra dengan rakyat,

“Justeru, Sultan Ibrahim adalah kebanggaan bukan saja penduduk Kampung Tengah, tetapi seluruh rakyat negeri Johor,”” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:26 AM