ORANG ramai menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan.
KAUNTER Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara perkhidmatan disediakan di UTC.
Oleh Hamizah Badiran

Kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) berjaya memberi kemudahan dan manfaat kepada orang ramai yang boleh menyelesaikan pelbagai urusan dengan hanya berkunjung ke satu lokasi saja.

Ini terbukti dengan sambutan menggalakkan orang ramai ke atas lapan UTC yang beroperasi di Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Kedah, Sabah, Johor, Sarawak serta dua mini UTC di Sentul serta Keramat.

Kerajaan kini sedang melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam usaha meningkatkan kolaborasi dalam kalangan Kementerian dan agensi yang dapat mengoptimumkan penggunaan sumber secara lebih efektif. Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ini pada dasarnya menekankan pelaksanaan projek kerajaan berimpak tinggi dan kos yang rendah. Di samping itu, ia memberi penekanan kepada pelaksanaan dalam jangka masa pendek serta berlestari.

Menerusi pengalaman penulis yang pertama kali ke UTC Kuala Lumpur di Pudu Sentral pada Disember lalu dan sekali lagi baru-baru ini, walaupun waktu baru saja menunjukkan jam 9.30 pagi, orang ramai sudah membanjiri kaunter di beberapa agensi utama seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Namun, penulis bertambah terkejut apabila diberitahu pihak pengurusan UTC Pudu Sentral orang ramai sanggup beratur seawal jam 6 pagi di luar pintu semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan di situ.

Pegawai Pendaftaran JPN Norazlinda Abdul Aziz berkata, kewujudan UTC nyata menggembirakan ramai pihak yang menyifatkan ia sebagai pusat sehenti perkhidmatan menyeluruh.

“Pada pandangan saya, UTC memberi impak kepada penduduk di bandar raya ini amnya dan seluruh rakyat Malaysia yang sudah lama menantikan satu usaha positif dilakukan kerajaan.

“Setiap perkhidmatan disediakan di sini langkah alternatif kerajaan yang mahu memudahkan pengguna mendapatkan layanan dengan kadar segera,” katanya.

Perkara itu turut diakui anak buahnya, Pembantu Pendaftaran JPN, Riduan Zakaria, 27, yang mula bertugas di JPN UTC Pudu Sentral sejak 2011.

Menurutnya, setiap hari, pelanggan yang datang memang cukup ramai kerana UTC dibuka seawal jam 8.30 pagi sehingga 10 malam selama tujuh hari seminggu.

Pesara, Hassan Hussin, 61, yang ditemui selepas berurusan di kaunter memberitahu, selain UTC Pudu Sentral, perkhidmatan yang cepat, layanan mesra dan selesa diberikan petugas di UTC menarik orang ramai mendapatkan perkhidmatan di situ.

“Saya suka dengan kecekapan mereka melakukan tugas dan contohnya, tidak sampai satu jam, kad pengenalan saya dapat disiapkan,”katanya.

Pegawai Imigresen, Rafidah Sahmer pula berpendapat permintaan untuk perkhidmatan amat tinggi kerana akses ke UTC yang mudah dengan adanya pengangkutan awam.

“Keadaan di Jabatan Imigresen yang sentiasa penuh dengan kunjungan pelanggan jelas menunjukkan UTC berjaya mencapai objektif penubuhannya,”katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah menjelaskan idea penubuhan UTC dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah suatu idea yang ‘think out of the box’ ataupun ‘berfikir di luar kotak’ dan ia sebahagian NBOS.

“Pusat transformasi ini menghimpunkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Klinik 1Malaysia, Pejabat Pendaftaran, Jabatan Imigresen serta pelbagai utiliti untuk membayar bil selain khidmat daripada kerajaan negeri.

“Selain itu, konsep UTC ini unik kerana ia bukan melalui pembinaan bangunan baru, sebaliknya mengambil alih bangunan lama yang tidak digunakan serta diubah suai menggunakan kos rendah dan disiapkan sekitar enam hingga tujuh minggu.

“Sehingga kini, lapan UTC dibangunkan di seluruh negara dan kami merancang membuka empat UTC lagi iaitu di Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perlis, manakala mini UTC juga dibuka di Sungai Petani, Kedah, Labuan dan Sarawak serta Sabah (lokasi belum dikenal pasti),”katanya.

Beliau berkata, antara kejayaan membanggakan menerusi pembangunan UTC ialah apabila pusat transformasi itu memenangi Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2014 dan Kementerian Kewangan membawa pulang wang kemenangan RM1 juta bersama trofi serta sijil penghargaan.

Dr Mohd Irwan Serigar menyifatkan anugerah itu bukan hanya kejayaan kepada Kementerian Kewangan semata-mata, malah dirasai semua jabatan dan agensi kerajaan kerana UTC turut membabitkan pihak berkenaan.

“Kemenangan itu satu bonus, tetapi kami lebih mementingkan kepuasan orang ramai. Kita adalah negara pertama membangunkan konsep begini dan ia menarik perhatian dan minat negara lain yang terpegun bagaimana kita boleh mengumpulkan semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya dalam satu bumbung.

“Contohnya, apabila pihak Bank Dunia datang melawat, mereka bertanya pelbagai soalan mengenai UTC dan memuji kita,”katanya.

Berdasarkan rekod, UTC menerima kehadiran 9.6 juta pelanggan tahun lalu, berbanding 6 juta tahun sebelumnya manakala dalam tempoh dua bulan tahun ini, 2 juta pelanggan datang ke UTC di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:32 AM