ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat pemandu lori yang tersepit selepas kenderaan dipandu terbabas.
Oleh Syazwan Msar

Kuala Lipis: Dua lelaki masing-masing pemandu kereta dan lori maut akibat tersepit selepas kenderaan mereka bertembung sebelum sebuah daripadanya terjunam ke dalam gaung di Kilometer 51, Jalan Lipis-Merapoh dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta S Thamodharan, 37, dari Ketereh, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Seorang lagi mangsa, pemandu lori, Yusri Ibrahim, 48, dari Kampung Kundur, Gua Musang, Kelantan meninggal dunia selepas kenderaannya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 30 meter.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berlaku apabila Thamodharan yang memandu Proton Persona dalam perjalanan dari Kuala Lipis menuju Merapoh sebelum kenderaannya hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dipandu Yusri.

“Akibatnya, lori yang membawa muatan minyak kelapa sawit terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam gaung manakala kereta berkenaan hancur di bahagian depan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 9:53 AM