Norhariati bersama anak-anaknya bermain dengan Nurul Syuhada. Gambar kecil, Nurul Syuhada.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Rawang: Naluri seorang ibu untuk melihat anaknya sihat seperti bayi lain mendorong seorang wanita mendermakan sebahagian hatinya biarpun kos pemindahan organ berkenaan menelan belanja lebih RM250,000.

Bayi berkenaan, Nurul Syuhada Zulkifli, 18 bulan, menderita penyakit Biliary Atresia (hati) sejak berusia 42 hari dan kos rawatan pemindahan organ itu akan dilakukan di Shanghai, China namun memerlukan kos pembedahan yang tinggi.

Ibu berkenaan, Norhariati Ahmat Yaakob, 38, berkata, dia tidak pernah gentar untuk melakukan pembedahan pemindahan hati jika proses penentuan kesesuaian penderma, melayakkannya menderma sebahagian hatinya itu.

“Saya sudah cukup bersedia melakukan pemindahan hati, tetapi banyak halangan terpaksa dilalui.

“Doktor beritahu saya, mustahil untuk berat Nurul Syuhada naik sehingga lapan kilogram. Jadi, pembedahan tidak boleh dijalankan di hospital di negara ini,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di sini, semalam.

Namun, satu berita gembira membuatkan Norhariati bersemangat semula apabila menerima perkhabaran daripada seorang rakan kenalan di Persatuan Biliary Atresia Malaysia menerusi laman Facebook.

“Ada anak seorang kenalan yang berjaya melakukan pembedahan di Shanghai, China. Anaknya juga mempunyai berat sama dengan Nurul Syuhada, membuatkan saya lebih bersemangat,” katanya.

Kata Norhariati, beliau dan suaminya, Zulkifli Ibrahim, 43, sanggup melakukan apa saja demi melihat anak bongsunya itu sihat seperti bayi normal yang lain walaupun terpaksa berkorban wang ringgit, mahupun kesihatan diri sendiri.

“Anak adalah anugerah paling berharga daripada Allah. Apa saja kami sanggup lakukan asalkan Syuhada kembali sihat.

“Saya percaya setiap ibu dan bapa di dunia ini akan melakukan perkara sama jika berdepan dengan masalah seumpama ini.

“Saya tidak ingin dilihat sebagai ‘hero’ yang menyelamatkan anaknya, tetapi keputusan saya untuk mendermakan sebahagian hati kepada anak adalah rasa tanggungjawab serta amanah daripada Tuhan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kekangan utama baginya untuk melakukan pemindahan hati berkenaan adalah kos pembedahan yang menjangkau RM250,000.

Menurutnya, jumlah itu hanya kos pembedahan saja tidak termasuk dengan lain-lain rawatan susulan yang perlu dilakukan sebelum dan selepas pembedahan dilaksanakan.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, kakak sulungnya, Norizan telah berusaha membuat kutipan derma menerusi Facebook, begitu juga adik-beradik lain yang membantu menderma dan menyebarkan laman derma itu menerusi pelbagai cara.

“Dugaan ini ditanggung mereka sekeluarga lebih memberi hikmah dalam mengeratkan silaturahim beliau dan adik-beradiknya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 162991036837 (Norhariati Ahmat Yaakob) dan CIMBBank 7014474391 (Zulkifli Ibrahim),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:44 AM