SIEW Kheng bersama Koh.
YUH Hui dan Kim Song melihat Voon.
Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Seorang bayi perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki mempunyai masalah jantung mengharapkan sumbangan orang ramai bagi membiayai pembedahan segera yang perlu dijalani membabitkan kos RM100,000.

Bayi berusia empat bulan, Voon Jia En dari Kuching, Sarawak memerlukan kos RM60,000 manakala RM40,000 diperlukan Koh Shi Jie, 4, dari Kluang, Johor.

Ibu Voon, Jong Yuh Hui, 36, berkata, anak ketiganya itu bukan saja menghidap jantung berlubang, tetapi memiliki dua lagi komplikasi lain iaitu saluran darah tidak normal dan saluran pernafasan sempit.

“Sejak disahkan dia menghidap segala penyakit itu tiga bulan lalu, dia hanya terbaring selain badannya berselirat dengan pelbagai tiub bagi menyokong pernafasannya,” katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan bersama suami, Voon Kim Song, 37, bagi memastikan Voon segera menjalani pembedahan serta selamat daripada penyakit berkenaan.

“Ketika mengetahui Hospital Gleneagles Kuala Lumpur mempunyai pakar, hampir setiap hari saya menghubungi pihak pengurusan untuk memasukkannya ke sana biarpun sedar saya tidak berkemampuan.

“Selagi kami berdua masih hidup, kami bertekad untuk memastikan Voon selamat serta bebas daripada penyakit itu biarpun berdepan pelbagai masalah,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Ibu Koh, Phang Siew Kheng, 48, berkata, anak ketiganya perlu menjalani pembedahan segera kerana penyakit yang dikesan ketika Koh berusia enam bulan itu semakin serius.

“Walaupun tidak menghadapi masalah kesihatan seperti demam, namun kini dia kerap penat terutama ketika menaiki tangga menyebabkan pembedahan harus dipercepatkan bagi mengelak masalah lebih teruk.

“Tetapi kos pembiayaan amat tinggi kerana suami hanya pemandu bas dengan pendapatan kira-kira RM2,500 sebulan dan saya pula suri rumah. Manalah kami dapat mencari duit sebanyak itu,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menyumbang boleh menulis cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan nama pesakit dinyatakan di belakang cek dan menghantarnya kepada Juruwang, Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:51 AM