Alor Setar: Seorang lelaki terlepas hukuman gantung sampai mati selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang remaja perempuan di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, di sini, dua tahun lalu.

Tertuduh Mohd Firdaus Mohd Faridul, 20, mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing.

Mohd Firdaus sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 KK yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Firdaus didakwa dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di kawasan bendang terbiar di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, kira-kira jam 9.30 hingga 11.30 malam, 29 November 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Berdasarkan keterangan pada fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan, hasil bedah siasat yang dijalankan menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat lemas berikutan rongga mulut, saluran pernafasan dan rongga perut dipenuhi lumpur cair.

Selain itu, punca kematian mangsa juga boleh dikatakan berpunca daripada lemas kerana tiada bukti menunjukkan si mati dicekik pada leher ataupun cedera tengkorak dan otak.

Terdahulu peguam bela tertuduh, Burhanudeen Abdul Wahid merayu hukuman diringankan kerana tertuduh dikatakan tidak mengenali mangsa dan tidak pernah mempunyai dendam selain niat asal tertuduh mahu membawa mangsa untuk bersiar-siar.

“Tertuduh anak sulung daripada lima beradik menjadi harapan membantu keluarga serta empat adiknya yang berusia 19, dan dua tahun,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Salim [email protected] mahu hukuman berat dan setimpal dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:08 AM