ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa.
Oleh Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Saat manis suami isteri dan jiran mereka pulang dari pusat peranginan Genting Highlands bertukar tragedi apabila kereta dinaiki merempuh sebuah kereta lain sebelum diseret lori sampah.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi semalam, ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian berhampiran Kilometer 14.4 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), semalam.

Nahas ngeri itu membunuh pemandu kereta, Tan Meng Hua, 65, dan isteri, Lion Ah Lowo, 58, serta jiran mereka, Tan Aun, 63, yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kapar, Klang.

Lebih mengerikan apabila Tan Aun tercampak keluar daripada kereta Proton Wira dinaikinya.

Salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, pasangan itu yang mempunyai empat anak pergi ke taman tema jam 6 petang kelmarin.

“Mereka ada memberitahu mahu bersiar-siar dan pulang hari ini (semalam), tetapi tidak sangka maut dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik Daerah Petaling Jaya Deputi Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dinaiki tiga mangsa itu hilang kawalan selepas terlanggar kon diletakkan bagi kerja pembinaan pembahagi jalan.

“Kereta mangsa terbabas dan ‘terbang’ masuk di laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah kereta Perodua Viva. Kereta itu kemudian dirempuh pula lori sampah.

“Lori sampah dikatakan menyeret kereta mangsa beberapa meter, malah rempuhan menyebabkan penumpang belakang tercampak keluar daripada kenderaan itu,” katanya.

Katanya, setakat ini identiti pemandu Perodua Viva yang dilaporkan cedera parah itu belum dapat dikenal pasti dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Pemandu dan dua pekerja yang menaiki lori sampah tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:12 AM