PENGANTIN bersama ibu bapa masing-masing.
Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anak perempuan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga penyanyi terkenal Najwa, 28, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Idris Koh Keng Hui, 29, semalam.

Pasangan itu yang mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu dinikahkan sendiri oleh Muhyiddin di kediaman rasminya di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, mempelai itu dinikahkan sendiri bapa pengantin perempuan pada jam 11.40 pagi di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Abdul Manaf Mat dan Khatib Dr Sirajuddin Suhaimee.

Majlis pernikahan ringkas namun meriah dihadiri kira-kira 300 jemputan yang terdiri daripada ibu dan bapa pengantin lelaki Chiam Juat Wah dan Koh Lai Poo, anggota keluarga pengantin kedua-dua belah pihak dan sahabat handai.

Muhyiddin melalui laman Twitter dan Facebook turut menzahirkan rasa syukur dengan majlis berkenaan yang diiringi doa agar rumah tangga anak ketiganya itu beroleh kebahagiaan.

“Kepada Idris dan Najwa, selamat menempuh alam rumah tangga. Najwa, jadilah seorang isteri yang solehah, berilah ketaatan kepada suami, jagalah budi pekerti dan akhlak sebagai isteri serta taat kepada Allah sepanjang hidupmu.

“Ayah dan mama mendidik dan mengasuh sebaik mungkin untuk menjadikan Najwa anak yang solehah dan berjaya dan mendoakan semoga Allah memberikan ketabahan, ketenangan serta kebahagiaan kepada kamu berdua hingga ke syurga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:58 AM