Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Akibat terlalu mempercayai rakan lelaki yang dikenali dua bulan lalu, dengan menemaninya membeli makanan, seorang janda anak satu berdepan detik hitam apabila dirogol dalam kereta dekat sebuah premis cuci kereta Jalan Durian Burung, di sini, Rabu lalu.

Sebelum kejadian itu, mangsa berusia 20 tahun yang berada di rumahnya di Kuala Ibai, di sini, menerima SMS daripada suspek yang berusia 20-an kira-kira jam 4.30 pagi, mengajaknya keluar membeli makanan di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek membawa mangsa bersiar-siar sekitar bandar raya ini selepas membeli makanan di sebuah restoran 24 jam.

Beliau berkata, mangsa kemudian meminta suspek menghantarnya pulang kerana mengantuk, tetapi suspek membawa mangsa ke Jalan Durian Burung.

“Sepanjang perjalanan, suspek memegang tangan dan muka mangsa menyebabkan wanita itu berasa tidak sedap hati dan memberi amaran akan terjun dari kereta jika lelaki itu masih memegangnya dan tidak menghantarnya pulang.

“Suspek kemudian mengubah haluan ke sebuah premis cuci kereta dan memberhentikan kenderaan di tepi jalan.

“Mangsa yang mengesyaki sesuatu, sekali lagi meminta suspek menghantarnya pulang sebelum lelaki itu menolaknya ke tempat duduk belakang,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, rayuan dan tangisan mangsa tidak diendahkan sebaliknya lelaki itu bertindak kasar dan merogol wanita itu.

Katanya, mangsa cuba melawan bagi mempertahankan dirinya, tetapi gagal berbuat apa-apa selepas suspek memukulnya.

“Suspek kemudian menghantar wanita itu pulang dan dia menceritakan kejadian itu kepada rakan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Menurut Wan Abd Aziz, siasatan mendapati mangsa mengenali suspek dua bulan lalu selepas lelaki itu menjadi pelanggan di kedai tempatnya bekerja sebelum mereka menjadi rakan di Facebook.

Katanya, suspek ditahan pada jam 1.57 pagi kelmarin, di Pantai Batu Burok, di sini, dan direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:46 AM