Oleh Mahaizura Abd Malik

Putrajaya: Kecemerlangan bakat yang difokuskan dalam lonjakan kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 akan menjadi penanda aras dalam menghasilkan lebih ramai bakat cemerlang di negara ini.

Pelan yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 7 April ini akan menambah baik lagi kualiti pendidikan rakyat selaras dengan tuntutan perubahan semasa.

Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kementerian Pendidikan, Prof Dr Raha Abdul Rahim berkata, lonjakan kedua dalam PPPM (PT) ini memberi tumpuan bagi melonjak kualiti kecemerlangan bakat kumpulan pendidik, penyelidik, pemimpin institusi dan kakitangan sokongan.

“Lonjakan dua ini sangat penting kerana ia akan merangsang kehadiran bakat cemerlang lain dan kementerian mahu IPT kita menjadi penanda aras dalam negara dan luar negara.

“Walaupun sekarang kita ada bakat cemerlang yang diiktiraf badan antarabangsa, tetapi ia perlu dilonjakkan kepada darjah lebih tinggi yang akan memberi impak kepada negara dan menaikkan nama IPT di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata, lonjakan ini akan memfokuskan kepada membina dan membangunkan bakat cemerlang ahli sarjana dan komuniti akademik di IPT kepada pendidik yang berinspirasi, penyelidik terbilang dan pemimpin bertransformasi sebagai persediaan melahirkan modal insan berkualiti.

“Pada masa sama kita mahu mereka lebih relevan, dirujuk dan dihormati masyarakat tempatan dan antarabangsa termasuk industri.

“Dalam lonjakan ini, kita juga melihat bagaimana pegawai tadbir dan pegawai sokongan dalam IPT akan menyokong kepada kumpulan bakat cemerlang ini menjadi seperti apa yang diharapkan,” katanya.

Menurut beliau, menerusi lonjakan kedua ini, keupayaan setiap IPT membangunkan kerangka kerja sendiri untuk melihat kepelbagaian laluan kerjaya dan pergerakan bakat (mobiliti) ahli akademik masing-masing menerusi perbezaan kecemerlangan sebagai seorang pendidik, penyelidik, pengamal profesional dan pentadbir akademik.

“Banyak persepsi mengatakan kecemerlangan sarjana kita tidak nampak, jadi di sinilah kita akan tekankan bakat cemerlang ini, kita tidak mahu mereka duduk dalam IPT sebagai ahli akademik saja sebaliknya mahu mereka keluar mencari pengalaman dari industri.

“Contoh mungkin dia boleh melakukan penyelidikan hebat di luar negara serta bergaul dengan pakar hebat dan bawa balik pengalaman dan pengetahuan ke Malaysia.

“Mereka ini akan menjadi sebagai penyelesai masalah serta menjalankan komersialan idea di mana mereka boleh menjadi konsultan kepada industri dan konsultan masalah masyarakat.

“Mobiliti yang kedua ialah kita bukan saja melihat pergerakan keluar penyelidik atau pensyarah, tetapi kita mahu lihat bagaimana pakar kita dari industri, badan berkanun atau kerajaan boleh dibawa masuk sebagai pensyarah dan penyelidik di IPT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 6:27 AM