Kuala Lumpur: Bagi menghargai usaha anggota jawatankuasa (AJK) masjid dan surau Jumaat di bandar raya ini, kerajaan melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM993,650 wang saguhati kepada golongan terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, wang saguhati itu bertujuan menghargai sumbangan 737 AJK di 67 masjid dan 1,100 AJK di 100 surau Jumaat atas usaha mengimarahkan masjid dan surau Jumaat di kawasan masing-masing.

“Ia sebagai penghargaan atas usaha murni mereka membangunkan masjid.

“Selain itu, mereka berusaha memanfaatkan setiap inci ruang dan peluang yang ada bagi memaksimumkan peranan masjid sehingga menjadikannya sebagai pusat kegemilangan umat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ijtimak dan Penyampaian Saguhati AJK Kariah Masjid dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Katanya, pentadbiran masjid adalah pihak yang diberi amanah kerajaan dan juga anak kariah untuk mentadbir dan menguruskan serta membuat perancangan bagi memaju dan memakmurkan masjid dan surau.

Dalam majlis itu, Jamil Khir turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 14 masjid yang berjaya memenuhi kriteria dan seterusnya memperoleh Gred A penarafan lima bintang bilik air dan tempat wuduk.

Antaranya ialah Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri; Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi; Masjid Amaniah, Kepong; Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju dan Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:39 AM