X
Aizat Sharif dan Nor Shafinaz Sari

Kuala Lumpur: Beberapa pengusaha kedai dan kedai serbaneka di seluruh negara dikesan cuba mengambil kesempatan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan mengenakan cukai terhadap penjualan akhbar arus perdana, semalam.

Kenaikan harga akhbar itu ternyata menimbulkan rungutan ramai kerana bahan bacaan itu dikecualikan daripada cukai, namun pelanggan tiada pilihan kecuali terpaksa membayar harga lebih berbanding biasa.

Tinjauan Harian Metro di Georgetown mendapati, kenaikan harga akhbar itu dikesan berlaku di beberapa kedai serbaneka 24 jam di negeri ini dan ia kemungkinan disebabkan faktor sistem dikemas kini pemilik premis, namun tindakan itu dilihat sebagai membebankan pembaca.

Pelanggan Zaidi Mahmud, 27, berkata dia terkejut apabila melihat resit selepas membeli akhbar di kedai serbaneka 24 jam di bandar ini apabila dicaj 10 sen.

“Saya tidak tahu sama ada pengusaha premis cuba mengeksploitasi GST terhadap beberapa barangan yang dikecualikan daripada cukai termasuk akhbar atau ia disebabkan sistem kaunter.

“Jika mereka ingin mengambil kesempatan ia memang sesuatu yang amat dikesalkan kerana dilihat cuba mengaut keuntungan berganda,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang Mohd Nawardi Saad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penjualan akhbar yang dikenakan GST di beberapa kedai serbaneka.

Beliau berkata, mereka akan merujuk kes terbabit ke ibu pejabat KPDNKK Kuala Lumpur dengan segera sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap pengusaha terbabit.

Terdahulu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri melancarkan Ops Pematuhan GST-Catut di kompleks beli-belah di Persiaran Gurney.

Dalam operasi itu, lebih 20 premis termasuk outlet barangan keperluan diri diperiksa dan pengusaha didapati mematuhi peraturan ditetapkan.

Di Melaka, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) mengarahkan semua kedai serbaneka 24 jam perlu mengemas kini sistem GST mereka supaya tidak terus mengenakan caj terhadap barangan yang dikecualikan daripada cukai terbabit.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, barangan yang dikeluarkan secara harian seperti akhbar, buku dan barangan yang tidak berada dalam senarai GST tidak boleh dikenakan caj.

Menurutnya, jika terdapat kedai serbaneka 24 jam yang sudah mengenakan caj GST terhadap barangan terbabit, mereka perlu memperbetulkan sistem berkenaan dalam keadaan segera.

“Kita sendiri mendapat maklumat mengenai perkara ini dan sudah pun meminta pihak kedai serbaneka 24 jam yang terbabit memperbetulkan keadaan. Ini berlaku diatas kesilapan kedai itu sendiri yang masih kurang memahami konsep GST.

“Kita adakan pemantauan untuk memastikan dan memperbetulkan kesalahan peniaga,” katanya di Akademi Kastam (AKMAL) Bukit Baru, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 10:01 AM