ANGGOTA bomba  menjalankan operasi mengeluarkan mangsa (gambar kecil) yang tersepit dihimpit bas.
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa (gambar kecil) yang tersepit dihimpit bas.
Oleh Asrizal Aris

Tapah: Seorang pemandu bas persiaran maut digilis tayar dan tersepit pada kenderaan itu selepas mangsa tercampak keluar melalui cermin hadapannya dalam kemalangan di Kilometer 317, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 pagi, mangsa, Yeoh Tian Bun, 24, tercampak keluar selepas bas yang dipandunya itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh penghadang jalan.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika kejadian bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan menuju ke Klang, Selangor.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, bas dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kiri jalan lalu merempuh penghadang besi.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak keluar dari tempat duduk pemandu melalui cermin hadapan dan terjatuh di dalam longkang.

“Pada masa sama, bas berkenaan masih bergerak masuk ke dalam longkang sama dan menghimpit mangsa sebelum kenderaan itu terhenti secara mengiring,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dan di hantar ke Hospital Tapah untuk di bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Tapah, Pegawai Bomba Kanan ll Abu Hassan Shaari Mat Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.22 pagi bergegas ke tempat kejadian mendapati seorang lelaki tersepit di bawah sebuah bas persiaran.

“Anggota bertindak menggunakan kren mini untuk memudahkan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah tayar bas dan dibantu oleh anggota bomba dari Balai Gopeng,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:31 AM