Seremban: Aduan membabitkan masalah kebersihan dan pembuangan sampah haram di seluruh negara berkurangan lebih 100 peratus apabila hanya 400 kes sebulan diterima pada tahun ini berbanding 2,000 kes sebulan pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Solid Waste Corporation (SWCorp) Datuk Ab Rahim Md Noor berkata, pencapaian membanggakan itu hasil tindakan penguatkuasaan komprehensif dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi.

Katanya, sehubungan itu pihaknya meletakkan sasaran menerima hanya 200 aduan sebulan menjelang Jun depan.

Menurutnya, aktiviti pembuangan sampah haram yang sebelum ini berleluasa kini hampir mencapai tahap sifar apabila tiada lagi aduan diterima berkaitan aktiviti itu.

“Pihak kami akan terus melakukan pemantauan berterusan dalam memastikan aktiviti pembuangan sampah haram dan masalah kebersihan dapat dibendung,” katanya selepas menghadiri Majlis Inspirasi SWCorp-Media Negeri Sembilan di Hotel Royale Bintang, di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengarah SWCorp Mohd Azhar Abd Hamid, Pengarah SWCorp negeri Shahrizal Samat dan Pengurus SWM Environment Sdn Bhd (SWM) negeri Mahadi Abd Talib.

Mengulas lanjut, Ab Rahim berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan PBT serta agensi berkaitan untuk membanteras aktiviti menampal poster ceti haram.

Katanya, operasi besar-besaran akan dilaksanakan bermula di ibu kota oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan disusuli negeri-negeri lain.

“Usaha membanteras aktiviti menampal poster haram memerlukan tindakan proaktif semua pihak kerana sebelum ini PBT sudah mengambil tindakan mengoyak dan memusnahkan poster namun kegiatan itu terus dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:27 AM