JOHAN (dua dari kanan) dan Ahmad Nawab (dua dari kiri) turut memberi penghormatan terakhir kepada Juwie, semalam.
SAHABAT dan kenalan artis mengusung jenazah Juwie ke tanah perkuburan, semalam.
Oleh Siraj Mohd Zaini

Selayang: “Arwah sangat amanah, kalau dia tahu cerita tak baik mengenai artis, dia tidak akan tulis, bila saya tanya kenapa tidak tulis kerana itu adalah eksklusif, dia kata tak apa, saya akan simpan rahsia artis itu hingga ke akhir hayat saya.

“Dia kata kalau kita aibkan orang, Allah akan buka aib kita di akhirat kelak, itulah dia Juwie yang saya kenal,” kata Fauziah Samad, rakan bekas wartawan hiburan dan juga penulis lirik, Allahyarham Abdul Jalil Salleh atau lebih popular sebagai Mama Juwie.

Fauziah yang mesra dipanggil Kak Jee berkata, arwah adalah gurunya di dalam bidang kewartawanan sejak puluhan tahun dan tidak akan ada pengganti selepas pemergiannya.

Katanya, kali terakhir dia menghubungi arwah pada 17 Februari lalu dan mengetahui arwah tidak sihat serta minta untuk mendoakannya.

“Pada saya, dia adalah legenda dalam dunia kewartawanan hiburan, tidak ada galang gantinya, seorang yang sangat baik dan amanah. Dia sudah banyak berubah berbanding ketika mula mengenalinya puluhan tahun lalu.

“Arwah juga rajin bersedekah dan pernah mahu memberi saya sedekah, namun saya tak mahu dan memberitahunya gunakan duit itu untuk dia berubat, dia kata baiklah dan moga selamat dunia akhirat, itulah kali terakhir saya dapat menghubunginya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Selayang Baru, di sini, semalam.

Allahyarham yang berusia 62 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Hospital Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras jam 10.30 malam kelmarin akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat.

Jenazah kemudian dimandi dan dikapankan di hospital itu sebelum disembahyangkan di Surau Al-Tarbiah Darul Falah berhampiran Taman Selayang Baru dan dikebumikan jam 11 pagi semalam.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Pengerusi Media Prima Berhad (MPB) Tan Sri Johan Jaaffar, rakan artis termasuk Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ahmad Nawab, Erra Fazira, Datin Umie Aida dan Ziela Jalil.

Menurut abang ipar Allahyarham, Musa Nikmat, 70, arwah dimasukkan ke PPUKM pada 13 Mac lalu dan menjalani dua pembedahan bagi memperbaiki saluran ususnya pada 20 dan 30 Mac sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, kelmarin.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar Berita Harian pada 1974 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada 1984.

Selain itu, Allahyarham turut aktif dalam bidang penulisan lirik untuk penyanyi dan kumpulan seperti Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Nassier Wahab, kumpulan Gersang dan Spring.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:31 AM