NAJIB dan Rosmah meraikan persandingan anak mereka Nooryana Najwa dan Daniyar, semalam.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Pekan: Ribuan tetamu menghadiri majlis persandingan anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa, 27, dan pasangannya, Daniyar Kessikbayev, 27, di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Peramu Jaya, di sini, semalam.

Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba kira-kira jam 1 petang sempat meluangkan masa bersalaman dengan orang ramai sebelum menepung tawar pasangan pengantin.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tetamu yang hadir sejak jam 12 tengah hari dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Datuk Jamal Abdillah, Syafinaz dan Haziq AF sambil menikmati pelbagai hidangan termasuk masakan tradisional Pahang seperti opor daging dan puding raja.

Najib dalam ucapan ringkasnya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang bergotong-royong menyediakan menu istimewa termasuk laksa Pahang, tapai pulut dan kuih qasidah pada majlis berkenaan.

Beliau turut berterima kasih kepada tetamu yang hadir meraikan persandingan anak perempuannya itu.

“Saya dengan isteri sudah mengadakan majlis (resepsi) di Kuala Lumpur, tetapi saya rasa tidak lengkap dan sempurna jika majlis sama tidak diadakan di Pekan.

“Oleh kerana Pekan adalah kawasan yang saya wakili, asal turun-temurun keluarga saya, jadi amat tepat majlis ini diadakan untuk memberi peluang meraikan tuan puan, sahabat handai dan semua penyokong tegar yang memberikan sokongan padu kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:35 AM