ANTARA penunggang yang menggunakan laluan kereta bersebelahan laluan khas motosikal.
ANTARA penunggang yang menggunakan laluan kereta bersebelahan laluan khas motosikal.
Oleh Iskandar Shah Mohamed

Kuala Lumpur: Degil dan biadab. Itu sikap segelintir pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang masih enggan mengikis tabiat buruk enggan menghormati undang-undang dan peraturan ditetapkan sehingga bukan saja membahayakan diri sendiri, malah mendatangkan risiko kemalangan kepada pemandu lain.

Pemantauan Metro Ahad di sekitar ibu kota dan Selangor mendapati rata-rata kesalahan popular dilakukan antaranya memandu melebihi had laju dibenarkan, tidak mematuhi lampu isyarat selain menggunakan laluan kenderaan awam lain dan lorong kecemasan.

Bagi penunggang motosikal, mereka turut mengambil jalan mudah apabila sanggup ‘meredah’ lebuh raya bersama kenderaan berat lain tanpa menggunakan laluan yang dikhaskan seperti Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Keadaan itu berlaku ketika waktu puncak dan alasan bodoh diberikan golongan berkenaan antaranya mahu mengelak kesesakan serta lebih cepat pergi ke destinasi dituju.

Kakitangan swasta, Saiful Abdullah, 34, berkata tindakan mementingkan diri sendiri seumpama itu dianggap hanya merumitkan lagi keadaan lalu lintas sedia ada terutama pada waktu petang di lokasi sesak di sekitar ibu negara.

“Saya yang berulang alik dari ibu kota menuju ke Kajang mendapati hampir setiap hari wujud pemandu biadab menggunakan laluan bas atau kecemasan dan lebih menyedihkan apabila mereka rata-ratanya memandu laju.

“Selain itu, dalam keadaan jalan sesak, ada daripadanya turut tanpa rasa bersalah melanggar lampu isyarat tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Menurutnya, walaupun dianggap remeh oleh golongan itu, tabiat berkenaan perlu segera dikikis kerana bukan saja menyebabkan berlaku pergaduhan malah kemalangan lebih teruk dan boleh meragut nyawa.

Sehubungan itu, Saiful berharap pihak berkuasa memandang serius perkara berkenaan dengan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pesalah jalan raya terbabit.

Bagi penunggang motosikal, Nasir Shaari, 29, dia kesal dan pelik dengan tindakan segelintir golongan sepertinya yang mengambil jalan mudah menggunakan laluan kenderaan berat di lebuh raya.

“Pihak berkaitan sudah menyediakan laluan khas motosikal dan mengapa mereka perlu membahayakan diri sendiri untuk meredah laluan lain sehingga sanggup ‘menyelit’ di tengah lebuh raya terutama di Petaling Jaya serta Subang.

“Mereka sepatutnya menyedari risiko berlakunya kemalangan dengan kenderaan lain adalah lebih tinggi walaupun dalam keadaan jalan sesak,” katanya.

Dia yang menetap di Shah Alam berkata, permasalahan itu turut berlaku pada waktu malam apabila lebih banyak motosikal berada di lebuh raya dan ada daripadanya turut menunggang laju.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:37 AM