Sepang: Bagi mengelakkan risiko kolam takungan milik Konsortium Abbas Sdn Bhd (ABBAS) seluas puluhan hektar tercemar, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang dengan kerjasama Majlis Daerah Sepang (MPSepang) menutup sebuah tapak pelupusan sampah di Kampung Jenderam Hilir, dekat sini, semalam.

Ini kerana pusat pelupusan sampah haram itu terletak hanya 100 hingga 150 meter dari Kolam Takungan C milik ABBAS yang menjadi punca bekalan air untuk keperluan bekalan air bersih di beberapa daerah sekitar termasuk Putrajaya, Cyberjaya dan Hulu Langat.

Pegawai Daerah Sepang Roslinah Md Jani berkata, tindakan itu diambil berikutan kedegilan pemilik tanah berkenaan yang tidak menghiraukan beberapa notis perundangan yang sudah dikeluarkan sebelum ini supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di tanah rizab itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan notis penutupan kepada pengusaha tapak pelupusan sampah haram itu kerana melanggar Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menceroboh tanah kerajaan.

“Kami difahamkan, tapak pelupusan sampah haram itu sudah beroperasi sejak dua tahun lalu malah, yang boleh mengundang pencemaran kolam berkenaan.

“Selain menjadi pusat pelupusan sampah haram, penceroboh turut menjalankan beberapa aktiviti lain termasuk menjalankan penternakan kambing dan lembu di tapak sama,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 7:32 AM