JAMAIN yang berusia 80 tahun tidak dilupakan.
Tumirah terharu menerima sumbangan.
Mustapa (kanan) bersama Othman (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Salasiah.

“Syukur tidak terhingga dengan sumbangan yang saya terima ini dapat menampung keperluan harian. Terima kasih Harian Metro,” kata Salasiah Darus, 64.

Salasiah adalah seorang ibu tunggal antara empat keluarga yang menerima bantuan keluarga miskin menerusi majlis perasmian surau Nurul Hasaniah di Kampung Parit Abu Hassan, di sini, dalam program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2015.

Menurut Salasiah, dia yang tidak bekerja dan mempunyai empat anak perempuan terharu kerana dipilih antara penerima sumbangan itu.

“Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa anak-anak dan Harian Metro di atas sumbangan yang cukup bermakna ini,” katanya.

Sementara itu, Sapri Jamain, 39, berkata, dia yang bekerja di Prai, Pulau Pinang, berasa bertuah kerana keadaan bapanya, Jamain Man, 80, yang uzur mendapat perhatian pihak Harian Metro yang memberi sumbangan.

“Bapa mempunyai pelbagai penyakit dan pada usia sekarang ini dia memerlukan penjagaan khusus.

“Sekurang-kurangnya pemberian sumbangan ini dapat meringankan perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di sini selepas menerima sumbangan wang tunai dan barang keperluan daripada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar serta Pengarang Eksekutif Edisi Hujung Minggu dan Rencana merangkap Pengerusi TKHM, Othman Mamat.

Turut menerima sumbangan ibu tunggal, Tumirah Sademu, 73, dan Safiah Inas, 75.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:22 AM