Jertih: Seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berlumuran darah sejauh dua kilometer selepas bahunya ditetak menggunakan pedang samurai dalam kejadian berhampiran stadium mini Kampung Raja, di sini, kelmarin.

Mangsa berusia 31 tahun yang cedera di bahu kanan menggagahkan diri menunggang motosikalnya ke Balai Polis Kampung Raja dua kilometer dari tempat kejadian bagi mendapatkan bantuan.

Kejadian dipercayai berlaku jam 12.15 tangah malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila, Kampung Raja ke rumah isterinya di Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian menyedari diekori motosikal lain dan sebaik tiba di tempat kejadian, suspek tiba-tiba menetak mangsa menggunakan pedang dipercayai pedang samurai.

“Mangsa yang tidak menyangka serangan itu tidak sempat mengelak menyebabkan dia cedera di bahu kanan,” katanya.

Khaled berkata, hasil siasatan awal mangsa memaklumkan tidak mengenali suspek dan motif dia diserang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:26 AM