ABDUL Latif (dua dari kanan) dan Khalid (kanan) memeriksa harga barangan ketika Ops GST Pasaraya Tesco Mergong, semalam.

Alor Setar: Seramai 37 pemilik premis di negeri ini dikompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan membabitkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa awal bulan ini.

Tindakan kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM4,500 itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah dalam pemeriksaan ke atas 4,759 premis di negeri ini dalam tempoh sembilan hari sejak GST dilaksanakan.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kedah Khalid Tik berkata, daripada jumlah itu, 16 kes dikesan melanggar kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (19 kes) serta masing-masing satu mengikut Akta Perihal Dagangan dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menurutnya, kawasan paling banyak dikesan berlaku kenaikan harga barangan ialah Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar.

“Setakat ini, kita sudah menjalankan pemeriksaan di semua premis di negeri ini dan hanya mengambil tindakan ke atas segelintir peniaga yang didapati melakukan kesalahan.

“Bagaimanapun, 26 peniaga lagi diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta diberi tempoh tiga hari untuk memberi surat tunjuk sebab mengapa mereka menaikkan harga sesuka hati,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan tinjauan barangan di Pasaraya Tesco Mergong, di sini, semalam.

Turut serta, Pengarah Kastam Kedah Abdul Latif Abdul Kadir.

Dalam pada itu Khalid berkata, pihaknya turut menerima 234 aduan daripada orang ramai mengenai kekeliruan harga dan kenaikan harga barang yang tidak sepatutnya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata, setakat ini anggota Task Force Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) yang bergerak di seluruh negeri bertanggungjawab untuk memberi khidmat nasihat kepada peniaga dan orang ramai mengenai GST sehingga 30 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:13 AM