Kuala Lumpur: Beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual 21 April (Selasa) depan, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, gangguan bekalan air sementara itu berikutan kerja menaik taraf sistem bekalan air di kawasan terbabit.

Katanya kerja penukaran injap kekupu baru bersaiz 700mm berdekatan Shell di Taman Putra Height, Shah Alam yang bermula 21 April (Selasa) dari jam 9 malam akan menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Wilayah Klang dan Shah Alam sehingga 8 pagi keesokan harinya (22 April).

“Kawasan yang terbabit ialah Putra Indah, Putra Bahagia, Putra Permai, Putra Mahkota dan Bukit Lanchong, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Manakala kerja penukaran injap kekupu bersaiz 450mm di Bulatan Jalan Kuari, Cheras, Kuala Lumpur pula bermula 21 April (Selasa) dari jam 9 malam hingga 12 tengah hari keesokannya 22 April.

“Kawasan yang terbabit di Wilayah Kuala Lumpur ialah di Taman Cheras Utama, Taman Pandan Perdana, Taman Cheras Indah, Taman Maju Jaya, Taman Pandan Indah, Taman Kencana, Taman Pandan Indah Komersial dan Jalan Pandan Cahaya.”

“Pengguna dinasihatkan membuat persediaan untuk menyimpan bekalan air secukupnya bagi menghadapi gangguan bekalan air sementara itu serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan air tersebut,” katanya.

Katanya pengguna yang memerlukan maklumat berhubung kerja berjadual boleh mengakses aplikasi sistem mySYABAS yang boleh dimuat turun melalui Google Playstore dan Appstore serta di laman web rasmi SYABAS di www.syabas.com.my atau layari laman Facebook, Twitter SYABAS dengan menaip ‘puspel’ atau “puspel syabas”, katanya. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 10:07 AM