MUSTAPA (belakang enam dari kiri) dan Dr Chamil Wariya (belakang, sembilan dari kanan) bersama sebahagian wakil penyumbang Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2015.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Institut Akhbar Malaysia (MPI) terima sumbangan RM417,000 daripada 54 organisasi seluruh negara bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2015 yang dijangka berlangsung di Hotel Pullman di sini, bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya berkata, acara tahunan berkenaan yang dianjurkan sejak 1981 adalah bagi mengiktiraf karya terbaik dalam bidang kewartawanan di negara ini yang dijelmakan menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI- Petronas 2014.

“Tahun ini kami terus mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, organisasi media, agensi kerajaan persekutuan mahupun negeri serta individu yang menghulurkan sumbangan masing-masing untuk penganjuran acara ini.

“S54 organisasi menyumbangkan RM417,000 iaitu 27 daripadanya menyumbang RM10,000 manakala 18 organisasi menyumbang RM6,000.

“Selain itu, kami juga menerima sumbangan bukan penajaan meja daripada sembilan organisasi bernilai RM25,000 manakala RM14,000 diterima daripada jabatan kerajaan, kerajaan negeri dan syarikat korporat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan MWM 2015 di Hotel Pullman di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Bersama MWM 2015/ Setiausaha Bendahari MPI merangkap Pengarang Kumpulan Harian Metro iaitu Datuk Mustapa Omar serta wakil organisasi media dan pihak penaja.

MPI menerima 412 penyertaan membabitkan 895 artikel untuk merebut 15 kategori dipertandingkan dalam HKM MPI- Petronas 2014.

Dr Chamil yang juga Pengerusi MWM 2015 berkata, penyertaan HKM 2014 adalah tertinggi dalam tempoh empat tahun dengan peningkatan sebanyak 51.9 peratus membabitkan 412 orang peserta berbanding 198 orang pada HKM 2011.

“Semua karya dinilai satu pasukan hakim yang berwibawa terdiri daripada wartawan veteran berpengalaman dan ahli akademik berdasarkan kandungan sama ada ia relevan atau penyelidikan dilakukan wartawan itu satu penyelidikan mendalam, banyak maklumat primari mahupun utama disajikan dalam penulisan mereka atau sekadar mengutip maklumat sekunder.

“Berdasarkan pengamatan saya, kualiti penyertaan bagi semua kategori media saban tahun semakin meningkat dan ia sebenarnya adalah cabaran kepada hakim penilai untuk memilih pemenang kerana persaingan begitu sengit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 10:25 AM