SEBAHAGIAN wanita warga asing dipercayai pelacur yang ditahan dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Changkat Thambi Dollah.
ANTARA selendang khas untuk disarungkan kepada pelacur.
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Teruja mahu memiliki pelacur jelita ‘5 bintang’ menyebabkan ramai pengunjung lelaki sebuah pusat hiburan sanggup membazir duit membeli selendang khas berharga antara RM300 hingga RM2,000.

Pengunjung pusat hiburan di Jalan Changkat Thambi Dollah di sini, kemudian akan menyarung selendang itu pada tubuh pelacur yang menjadi pilihan.

Difahamkan selendang itu akan dipakaikan kepada sekumpulan pelayan pelanggan yang membuat persembahan tarian di pentas khas di pusat hiburan itu.

Selesai melakukan persembahan, pelayan wanita berselendang itu akan ke meja pelanggan yang membuat pembayaran untuk menemani mereka bersuka ria.

Wanita terbabit kemudian akan menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan mereka pada harga berlainan.

Bagaimanapun, kegiatan maksiat di pusat hiburan itu terbongkar hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Kongsi Gelap dan Judi (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman diketuai Inspektor Razali Md Kassim jam 2.30 pagi semalam.

Serbuan dilakukan hasil aduan awam dan risikan sejak seminggu lalu terhadap premis yang menyediakan pelacur warga asing.

“Premis hiburan berkenaan adalah rumah kedai dua tingkat dan menyediakan hiburan lewat malam dengan konsep terbuka.

“Seorang penjaga premis berusia 23 tahun ditahan bersama 10 wanita warga China berusia 21 hingga 28 tahun yang digunakan sebagai ‘penarik’ pelanggan,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan, semua wanita warga asing itu sedang asyik melayan pelanggan dan ada yang sedang membuat persembahan tarian berahi di pentas.

“Premis itu sudah beroperasi hampir 5 tahun dan ini kali pertama diserbu Bahagian D7 Bukit Aman.

“Premis itu didapati beroperasi tanpa sebarang lesen atau permit sah. Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39b Peraturan - Peraturan Imigresen dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:29 AM