ANGGOTA PPM Wilayah Dua Johor memeriksa van mengandungi rokok seludup yang dirampas dalam operasi Ops Landai.

Johor Bahru: Sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor terpaksa mengejar sebuah van yang mencurigakan di Pontian, dekat sini, selama 15 minit kelmarin, sebelum kenderaan yang sarat dengan 3,660 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM35,000 itu ditahan.

Pasukan itu melakukan Ops Landai di sekitar kawasan Sungai Pinggan, Benut, jam 8 malam itu apabila terserempak sebuah van Nissan Vanette yang mencurigakan.

Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, anggota yang menjalankan rondaan sekitar kawasan itu mengarahkan pemandu van berkenaan supaya memberhentikan kenderaan namun tidak diendahkan.

“Selepas dikejar 15 minit, kami menahan van itu tetapi pemandunya melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit berdekatan dan gagal dikesan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam van berkenaan menemui 3,660 rokok tidak sah antaranya Gudang Garam, LA, John dan Canyon.

“Ops Landai akan kerap dijalankan bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 11:01 AM