LAW (kanan) melihat barang rampasan sindiket Macau Scam selepas sidang media di IPK Kuala Lumpur.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Satu sindiket penipuan Macau Scam sanggup menyewa enam kondominium mewah di ibu kota dengan sewaan RM28,000 sebulan sebagai markas operasi sebelum ia diserbu awal pagi semalam.

Dalam beberapa serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat polis Kontinjen Kuala Lumpur bermula jam 6 petang kelmarin hingga 5 pagi semalam, seramai 52 individu warga China berusia 18 hingga 52 tahun ditahan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan awal dijalankan.

“Serbuan diketuai Ketua JSJK Kontinjen Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani berjaya memberkas 26 lelaki dan 26 wanita yang dipercayai adalah pekerja sindiket terbabit.

“Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan kondominium mewah yang disewa dengan harga RM28,000 untuk memastikan operasi kegiatan itu berjalan lancar dan tidak dihidu pihak berkuasa.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyamar sebagai pegawai bank tempatan dan menghubungi mangsa kononnya ada bayaran kad kredit yang tertunggak. Mangsa kemudian diminta menghubungi pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengelak nama mereka disenarai hitam atau akaun dibekukan. Akhirnya, mangsa akan mengikut arahan ahli sindiket dengan membuat pemindahan wang ke akaun bank tertentu melalui e-banking atau mesin deposit tunai (CDM),” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Menurutnya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah wang tunai RM14,955 dan wang asing dalam mata wang Yuan 28,695, komputer riba (67), telefon bimbit (55) dan mesin pencetak (empat) serta 101 unit peralatan komputer.

“Siasatan awal mendapati kegiatan itu mula beroperasi sejak dua bulan lalu dan semua 52 pekerja yang ditahan mendakwa ditipu sindiket terbabit yang menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi di negara ini sebaliknya dipaksa bekerja sebagai operator telefon.

“Kebanyakan mereka memasuki negara ini menggunakan visa pelawat. Sepanjang berada di negara ini, semua pekerja terbabit tidak dibenarkan keluar dari rumah berkenaan dan dikawal ketat anggota sindiket.

“Kami kini sedang mengesan dalang sindiket ini bagi memastikan kegiatan penipuan Macau Scam ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, rampasan itu juga adalah rampasan terbesar pada tahun ini membabitkan bilangan kerugian ratusan juta ringgit.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitter miliknya memuji kejayaan serbuan terbabit.

“Syabas JSJK @PDRMsia KL berjaya bongkar kumpulan ‘Macau Scam’ dalam Serbuan enam Condo dan tangkap 52 warga Cina di KL. Go PDRM Go,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:12 AM