SULTAN Ibrahim meneliti kandungan dokumen bersejarah Kesultanan Johor koleksi Arkib Negara Malaysia cawangan Johor selepas melancarkan karnival Johor Corporation.

Muar: Johor Corporation (JCorp) akan terus menjadi agensi menjana ekonomi kerajaan negeri dalam merancakkan lagi sektor pembangunan.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan JCorp sejak 45 tahun lalu adalah sebagai instrumen menjana ekonomi kerajaan negeri dan keadaannya tetap sama pada masa kini.

“Sebagai satu agensi dan entiti yang paling besar serta dimiliki oleh kerajaan negeri, pembangunan yang dijalankan dapat diberi manfaat kepada semua rakyat Johor.

“Oleh itu, Karnival JCorp yang diadakan mampu memberi penerangan kepada masyarakat mengenai peranannya dalam pembangunan infrastruktur negeri,” katanya.

Beliau berkata ketika hadir di majlis perasmian Karnival JCorp yang dirasmikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang diadakan sempena Kemahkotaan Sultan Johor di Dataran Tanjung Emas di sini, semalam.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut berkenan berangkat ke majlis itu dan diiringi anakanda baginda, Tunku Temenggong Tunku Idris, Tunku Tun Aminah dan Tunku Putera Tunku Abu Bakar.

Hadir sama Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman, Abu Kassim, Ahli Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar Ramlee A Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:21 AM