LIOW beramah mesra bersama wanita MCA pada majlis perjumpaan bersama wanita MCA di Nilai Spring Resort.
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Nilai: Kerajaan sedang menjalankan penyiasatan menyeluruh membabitkan perbandingan serpihan bangkai helikopter S365N2 Dauphin (9M-IGB) yang dijumpai dengan data daripada kotak hitam yang diperolehi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata, pelbagai aspek siasatan sedang dijalankan sebelum punca sebenar nahas berlaku di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4 April lalu, diketahui umum.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai diminta menghentikan spekulasi mengenai kejadian yang menyaksikan enam terkorban termasuk Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Tegasnya, siasatan berhubung insiden itu kini berjalan lancar dan pasukan penyiasat yang diterbangkan ke United Kingdom sudah pulang ke tanah air selepas mendedahkan semua data rakaman suara kopkit serta rakaman data pesawat.

“Kita bersyukur kerana data dalam kotak hitam begitu sempurna, dapat dibaca dan dianalisis. Ia jelas membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bengkel Rangka Kerja Wanita MCA (2015-2018), semalam.

Turut hadir, Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Heng Seai Kie dan Ketua Wanita MCA Negeri Sembilan Datuk Seri Lee Pit Chern.

Tiong Lai berkata, ketika nahas berkenaan, pasukan penyiasat turut berada di lokasi dan menemui semula bangkai helikopter itu berserta serpihannya.

“Kita sedia maklum wujud pelbagai spekulasi mengenai kejadian ditambah pula ada menokok tambah cerita.

“Lebih memburukkan keadaan apabila mereka maklumkan hanya ‘dengar-dengar’. Sehubungan itu, hentikan penyebaran berita palsu dan tunggu keputusan lengkap awal bulan depan,” katanya.

Tegasnya, selepas keputusan lengkap diperolehi, kejadian sebenar akan diterangkan kepada rakyat di negara ini.

“Selain data daripada kotak hitam dianalisis, ia juga dapat diubah kepada data terperinci seperti 3D (tiga dimensi) yang menggambarkan situasi sebenar helikopter itu ketika terhempas dengan ketinggian dan masa yang tepat,” katanya.

Berhubung dakwaan juruterbang Kapten Clifford William Fournier yang dikatakan berhadapan masalah kewangan, Tiong Lai berkata, siasatan diserahkan kepada polis.

Harian Metro pada 5 April lalu melaporkan, helikopter AS365N2 Dauphin (9M-IGB) yang membawa enam individu terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Mereka terkorban adalah Jamaluddin; Clifford; Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias; ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:25 AM