Kuala Lumpur: “Masyarakat kita menginginkan sesuatu nilai kehidupan yang berlandaskan syariah Islam” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi),Uztaz Paimuzi Yahya mengenai Karnival Semarak Syariah Sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M.

Menurutnya, program ini diadakan bagi menyemarakkan penghayatan syariah dalam jiwa masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Perkara ini memberikan satu gambaran bahawa masyarakat menginginkan solusi dari sudut pandangan Islam dan merealisasikan hasrat masyarakat untuk hidup dengan kehidupan yang berlandaskan syariah.

“Karnival ini sebagai medium bagi masyarakat awam mendekati JAWI dengan lebih dekat,”katanya selepas merasmikan Karnival Semarak Syariah Sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan, Ahmad Rajiun Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Operasi Ketua Bahagian, Che Husain Isa.

Pada karnival itu pelbagai program keilmuan yang berteraskan nilai dan penghayatan Islam diadakan bermula dari jam 9 pagi hingga 11 malam.

Sebanyak 80 gerai pameran jualan disediakan dan orang ramai dijemput hadir memeriahkan karnival terbabit dan tiada bayaran dikenakan.

Dalam pada itu Paimuzi Yahya berkata, Jawi sentiasa berusaha untuk menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam daripada sebarang aktiviti yang mencemarkan imej Islam dan umatnya.

“Karnival seperti ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang keagungan al-Quran sebagai asas kepada syariah.

“Konsep pendidikan dalam al-Quran juga menekankan umat Islam khususnya melaksanakan amar makruf nahi mungkar adalah untuk mengangkat martabat dan peradaban ummah,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:53 AM