JOHAN qari kebangsaan dan antarabangsa 2014, Ustaz Ahmad Ali memperdengarkan bacaan al-Quran.
MUHYIDDIN mendengar alunan bacaan daripada qari.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penghayatan dan pengamalan ajaran al-Quran akan memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan antara pemimpin serta rakyat secara keseluruhannya tanpa mengira bangsa, warna kulit dan kedudukan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, negara yang aman dan damai dapat menjamin kebahagiaan serta keselamatan rakyatnya.

Katanya, negara yang mengamalkan perpaduan, dapat mencapai kemajuan dan kejayaan dengan lebih mudah serta tidak mudah dikuasai pihak asing.

“Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat yang berusaha menjadi negara Islam contoh dalam kalangan negara-negara Islam dan dunia sewajarnya mengambil nilai positif yang dirintis oleh umat Islam terdahulu.

“Atas asas itu, perpaduan dalam kalangan masyarakat, harus menjadi pemangkin utama bagi melonjak transformasi negara ke arah wawasan yang ingin di capai bersama. Perpaduan itu perlulah mencakupi pelbagai bidang kehidupan masyarakat agar ia benar-benar mampu mengubah negara menjadi sebuah negara yang disifatkan Allah SWT sebagai ‘baldatun toyyibah wa rabbun ghafur’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-58 bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam, di sini semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Seramai 28 peserta akan memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang majlis tilawah berkenaan mulai semalam hingga 25 April ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, ungkapan tema kali ini mempunyai hikmah yang mendalam dan menepati keperluan semasa rakyat Malaysia dan umat Islam keseluruhannya.

“Sesungguhnya, Allah SWT menerusi Nabi Muhammad SAW sudah menjelaskan kepada manusia bahawa Dia amat menyukai perpaduan dan tidak menyukai perpecahan dengan al-Quran sebagai sumber rujukan utama Islam, membimbing dan mendorong manusia selaku khalifah di muka bumi ini untuk sentiasa bersatu padu dan menjauhi perpecahan,” kata beliau.

Beliau berkata, merujuk kepada ajaran al-Quran, perpaduan dan keharmonian ini akan hanya menjadi realiti apabila kita berpegang teguh dengan ajarannya.

Beliau mengambil kesempatan mengingatkan dirinya dan para hadirin sekalian supaya menghayati intisari ayat-ayat suci yang akan diperdengarkan oleh qari dan qariah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:54 AM