Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melihat cadangan peningkatan usia pengeluaran wang tabungan yang dilaksanakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari 55 tahun ke 60 tahun bukan isu sebenar untuk menentukan kecukupan tabungan persaraan ahlinya.

Ini berikutan, pengurusan dan persediaan individu untuk menempuh kehidupan selepas bersara adalah penentu bagi memastikan mereka mampu berada di tahap selesa dalam tempoh itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir berkata, cadangan itu dilihat sekurang-kurangnya boleh membantu ahli KWSP unuk menambah wang tabungan mereka.

Katanya, jika ahli KWSP mempunyai tabungan RM200,000 ketika usia 55 tahun dan dibahagi kepada 20 tahun tempoh bersara ialah bersamaan RM800 sebulan yang boleh digunakan pencarum tabung berkenaan.

“Melihat kepada perkiraan itu, ia adalah satu jumlah kecil untuk menampung kos sara hidup dan ketika itu potensi berdepan dengan masalah kesihatan amat tinggi.

“Jadi, setiap individu perlu mempunyai strategi menjana pendapatan untuk persediaan ketika bersara sama ada menyertai skim pelaburan seperti unit amanah,” katanya.

Katanya, merancang gaya hidup selepas bersara juga penting bagi membolehkan orang ramai membuat tabungan lebih awal terutama ketika mereka masih muda.

“Golongan muda perlu melihat statistik dikeluarkan pelbagai pihak mengenai ketidakcukupan tabungan ketika tempoh bersara bagi menyusun strategi kewangan untuk hidup lebih selesa ketika bersara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:06 AM