Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Rakyat mestilah sentiasa mematuhi undang-undang negara dan menghormati amalan beragama seperti termaktub dalam perlembagaan,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasil perbincangan Kabinet mengenai isu bantahan sekumpulan penduduk terhadap pemasangan lambang salib di luar rumah kedai yang dijadikan gereja di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.

Kabinet semalam turut membincangkan isu bantahan terbabit dan berpendapat mereka (sekumpulan penduduk) sepatutnya berbincang dengan pihak berkenaan jika mempunyai sebarang bantahan dan tidak mengambil tindakan yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Rakyat hendaklah mengamalkan sikap toleransi serta saling hormat-menghormati antara kaum berbeza agama.

“Di Taman Medan ini, kerajaan negeri Selangor berkuasa ke atas status rumah kedai ini sama ada ia berdaftar sebagai rumah ibadat dan diberi kebenaran untuk beroperasi.

“Polis menjalankan siasatan terhadap kumpulan mengadakan bantahan di Taman Medan dan jika mereka didapati melanggar undang-undang negara maka, tindakan boleh diambil mengikut Akta Hasutan atau undang-undang sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:45 AM