Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pengarah drama membayar ganti rugi RM100,000 kerana mencederakan pelakon dan pelawak, Johan Raja Lawak.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dalam keputusan sebulat suara mengekalkan perintah bayaran ganti rugi dikenakan terhadap pengarah Mohd Javed Mohd Nizar dan syarikat penerbitannya Juara Filem Sdn Bhd.

Mahkamah juga dalam keputusannya membenarkan rayuan Mohd Javed mengetepikan ganti rugi RM20,000 yang diberikan kepada Rozlinawaty Ismail (isteri Johan).

Panel turut dianggotai Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan Mohd Javed membayar kos perundangan RM10,000 terhadap Johan.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi sudah memerintahkan Mohd Javed membayar kos perundangan RM50,000 kepada Johan atau nama sebenarnya Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz.

Peguam R Jayasingam dan Baljit Singh mewakili Mohd Javed dan syarikatnya manakala Johan dan Rozlinawaty diwakili peguam Suhaimi Saad.

Pada 18 Julai 2010, Johan, 29 dan Rozlinawaty, yang juga dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, memfailkan saman sivil RM1 juta terhadap Mohd Javed dan syarikatnya bagi kecederaan dialami pasangan itu semasa perbincangan di sebuah restoran di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pada Mei tahun yang sama.

Dalam pernyataan tuntutan, mereka mendakwa Mohd Javed menyerang Johan menyebabkan kecederaan pada dahinya, dan isterinya juga mendakwa dipukul semasa cuba menghalangnya (Mohd Javed) dan kru syarikat penerbitan itu daripada memukul Johan.

Mohd Javed merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Julai tahun lalu yang mengarahkan beliau dan syarikatnya membayar ganti rugi RM100,000 kepada Johan dan RM20,000 kepada Rozlinawaty.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:02 AM