BUAYA yang sesat di Kampung Bukit Perah.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Banting: “Saya sangkakan biawak. Namun terkejut apabila muncul seekor buaya dalam keadaan mulutnya ternganga sebaik saya membaling batu ke dalam parit,” kata M Suren, 32, yang menemui seekor buaya sesat di Kampung Bukit Perah, Banting di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, Suren dikatakan baru pulang ke rumah selepas membeli barang bersama ahli keluarga.

“Sejurus mendapati haiwan itu adalah buaya, saya segera menghubungi anggota bomba dan penyelamat.

“Saya hairan bagaimana buaya sepanjang lebih dua meter dan seberat kira-kira 200 kilogram itu boleh tersesat ke kampung ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.40 malam dan tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian.

Katanya, seramai 10 anggota bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menangkap dan menaikkan reptilia itu ke tebing parit.

“Buaya itu yang bertindak agresif ditangkap menggunakan tali penjerut dan dinaikkan dengan kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan selamat.

“Reptilia itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu mencatat sejarah kerana pertama kali bomba daerah Kuala Langat terbabit dalam operasi menangkap buaya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan PERHILITAN Selangor Abd Rahim Othman berkata, buaya itu dikenal pasti spesis buaya tembaga.

Abd Rahim berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana buaya terbabit boleh masuk ke dalam parit kampung itu.

Menurutnya, buaya terbabit sudah diserahkan kepada Paya Indah Wetlands di Dengkil untuk tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:31 AM