SEBAHAGIAN daripada nelayan asing yang ditahan.
ANTARA gamat yang dirampas APMM.
Oleh Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: Sekumpulan nelayan warga Vietnam dikesan sengaja merosakkan khazanah laut di perairan negara apabila menggunakan sejenis alat menangkap hidupan marin dikenali tangguk besi.

Alat itu yang bermata cangkuk digunakan untuk menangkap gamat selain ikan akan di turunkan ke dasar dan mampu menyodok sejauh kira-kira 500 meter.

Kegiatan mereka dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 10, Tok Bali yang melakukan Operasi Perkara Timur, kelmarin.

Operasi diketuai Bintara Muda Maritim Zailani Mamat bersama tiga anggota mengesan tujuh nelayan asing berusia 18 hingga 48 tahun yang asyik menangkap gamat menggunakan alat itu pada jam 11.50 pagi, kira-kira 41.3 batu nautika dari Barat Laut Tok Bali.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 10 Tok Bali, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya percaya alat itu direka sendiri nelayan asing berkenaan untuk menangkap gamat yang mendapat permintaan tinggi di Vietnam.

“Pasukan kami terserempak dengan nelayan ini yang dalam keadaan mencurigakan dan apabila dihampiri, tekong bot berusia 48 tahun cuba memberi isyarat tangan kepada anggota, merayu minta dilepaskan.

“Anggota segera memeriksa bot dan menemui enam tong berisi gamat yang disembunyikan dalam dek bawah bot berkenaan selain tangguk besi yang digunakan untuk menangkap gamat.

“Sekurang-kurangnya terdapat 500 kilogram gamat dengan beratnya dianggar bernilai RM13,000. Kita juga merampas bot nelayan bernombor pendaftaran CM 9174 TS,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Nurul Hizam berkata, tangguk besi dilarang penggunaannya selain berbahaya kerana boleh merosakkan kawasan pembiakan ikan dan ekosistem karang laut.

Katanya, penggunaan alat itu juga akan menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.

“Tangguk besi sepanjang 15 meter itu turut dilengkapi cangkuk tajam dan disebabkan mata (cangkuk) itulah yang banyak merosakkan dasar laut kita.

“Namun, mereka tidak peduli disebabkan terlalu tamak dan mahu mengaut keuntungan memandangkan penjualan gamat di Vietnam sekitar RM25 sekilogram berbanding Malaysia iaitu RM10 sekilogram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:29 AM