ELIZABETH dipangku ibunya.
YOU An dipeluk ibu bapanya.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Dua kanak-kanak yang mengalami masalah jantung mengharapkan sumbangan orang ramai bagi membiayai pembedahan mereka yang dianggarkan menelan kos RM100,000.

Elizabeth Chok Yue Er, berusia lima tahun, dari Petaling Jaya, Selangor memerlukan kos RM40,000 manakala Kak You An, 11, dari Skudai, Johor pula memerlukan RM60,000.

Ibu Elizabeth, Lisa Ng Lay See, 42,, anak sulungnya perlu menjalani pembedahan segera kerana penyakit yang dikesan sejak lahir itu semakin serius.

“Walaupun tidak menghadapi masalah kesihatan seperti demam, namun kini anak saya itu kerap penat terutama ketika menaiki tangga menyebabkan pembedahan harus dipercepatkan bagi mengelak masalah lebih serius.

“Tetapi, kos pembiayaan amat tinggi kerana saya seorang saja yang bekerja dengan pendapatan RM1,100 sebulan dan suami saya sudah meninggal dunia. Manalah kami dapat mencari duit sebanyak itu,” katanya.

Sementara itu, ibu You An, Sia Siau Leng, 36, berkata, anak sulungnya itu bukan saja menghidap jantung berlubang, tetapi memiliki satu lagi komplikasi lain iaitu saluran darah tidak normal.

“Sejak disahkan anak saya menghidap segala penyakit itu, aktiviti You An terpaksa dihadkan kerana penyakitnya akan bertambah buruk,” katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan bersama suami, Kak Soon Khong, 41, bagi memastikan You An segera menjalani pembedahan serta selamat daripada penyakit berkenaan.

“Selagi kami berdua masih hidup, kami bertekad untuk memastikan anak saya itu selamat serta bebas daripada penyakit biarpun berdepan pelbagai masalah,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menyumbang boleh menulis cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan nama pesakit dinyatakan di belakang cek dan menghantarnya kepada Juruwang, Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:27 AM