X

Kuala Lumpur: Hanya bermodalkan bayaran RM99 yang dimasukkan ke dalam akaun bank sebelum menunggu slot temu janji ditetapkan doktor gigi yang akan diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

Malah, kebanyakan doktor ini memberi diskaun hingga 90 peratus untuk khidmat memasang pendakap gigi berbanding RM4,000 yang ditetapkan klinik atau hospital swasta.

Ini antara sebab khidmat doktor gigi tidak bertauliah ini semakin popular dalam kalangan remaja yang menganggap pemakaian pendakap gigi pelbagai warna boleh menarik perhatian ramai selain lebih cantik.

Wartawan Harian Metro menyamar sebagai pelanggan mengesan terdapat sekurang-kurangnya 20 laman sosial Facebook dan Instagram menawarkan khidmat itu.

Ketika diajukan soalan mengenai kemungkinan terdapat jangkitan kuman atau masalah pada gigi selepas dipasang pendakap gigi itu, mereka dengan yakin memberitahu tidak pernah berdepan masalah berkenaan.

“Tiada pelanggan kami yang berdepan dengan masalah selepas memasang pendakap ini termasuk jangkitan pada gigi atau gusi,” katanya.

Rata-rata penjual memberi khidmat pemasangan pendakap pada harga antara RM90 dan RM550 bergantung kepada bahan buatan pendakap gigi, bahagian gigi ingin dipasang alat itu dan perkhidmatan yang dikehendaki.

Seorang penjual dalam talian yang ditanya wartawan dalam aplikasi WhatsApp memberitahu, dia menjual set pendakap gigi pada harga serendah RM30, namun pelanggan perlu memasang sendiri dengan melihat buku panduan disediakan.

“Kalau inginkan khidmat pemasangan dan tambahan lain, kami ada menawarkan pakej untuk pelanggan namun bayaran yang dikenakan berbeza iaitu pada harga serendah RM350,” katanya.

Sementara itu, Dr Shazleen Dzulkeffli dari Klinik Pergigian Dr Smile Bangi berkata, terdapat dua jenis pendakap gigi tiruan berbahaya kepada pengguna yang dikenali dengan nama ‘fake braces’ dan ‘real braces’.

Beliau berkata, ‘fake braces’ boleh dipasang sendiri tanpa memerlukan khidmat pemasangan atau pemantau daripada doktor gigi, namun pendakap itu dikenal pasti diperbuat daripada bahan berbahaya.

Menurut Dr Shazleen, individu memakai ‘real braces’ pula berdepan dengan masalah gigi goyang, gusi berdarah dan sakit berpanjangan kerana pendakap itu boleh mengubah kedudukan gigi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:45 AM