BANGUNAN dua tingkat sederet pembuat alat ganti kenderaan juga bengkel berhampiran yang terbakar di kawasan Perindustrian di Jalan Genuang, Segamat.
Oleh Ahmad Ismail

Segamat: “Mujur nyawa kami masih panjang kerana berlaku letupan kuat sejurus berjaya keluar,” kata pekerja sebuah kilang membuat alat ganti kenderaan yang terbakar di Kawasan Perindustrian Jalan Genuang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi, Chong Zi Yang, 27, bernasib baik tersedar dari tidur dan segera mengejutkan ibu bapanya yang masing-masing berumur 60-an apabila menyedari premis berkenaan terbakar.

Menurut Chong, ketika kejadian, dia dan keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas bangunan kedai dua tingkat itu dan dia tersedar apabila sesak nafas akibat terhidu bau plastik terbakar.

“Sebaik terjaga, saya terhidu bau plastik terbakar dan terasa bahang menyebabkan saya yakin ia berpunca daripada kebakaran. Saya berlari ke bilik tidur ibu dan ayah dan mengejutkan mereka untuk menyelamatkan diri.

“Saya terpaksa mendukung ibu menuruni tangga kerana dia tidak berapa sihat selain mahu bergegas keluar dari bangunan yang terdapat banyak bahan mudah terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:52 AM