HASAN   (kanan) beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli.
HASAN (kanan) beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli.
Syazwan Msar dan Zul Ikhwan Muhammad

Rompin: Berdepan lawan lebih muda, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin, 62, mengakui beliau mengamalkan pemakanan tambahan untuk kekal cergas dalam usaha bertemu seramai mungkin pengundi sehingga kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin berakhir pada tengah malam, 4 Mei ini.

Hasan yang juga Pemangku Ketua Bahagian UMNO Rompin berkata, beliau juga mengurangkan pengambilan makanan berat pada sebelah malam untuk menjaga kesihatan dan kelihatan bertenaga apabila turun bertemu pengundi menerusi pelbagai program diatur jentera parti.

Katanya, kempen yang memasuki hari keenam semalam, beliau sudah bertemu hampir separuh daripada pengundi di Parlimen itu termasuk masyarakat Orang Asli, penduduk kampung tradisional dan peneroka FELDA di daerah ini.

Menurutnya, dia dibantu jentera parti akan terus turun padang bagi memastikan dapat menyelami permasalahan penduduk setempat jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen menerusi PRK itu pada 5 Mei ini.

“Tetapi, saya tetap nampak muda kan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Titian Kasih bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Gadak, Muadzam Shah, dekat sini, semalam.

Pada PRK Parlimen Rompin, Hasan berdepan calon PAS yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang Nazri Ahmad, 40.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 8:09 AM