Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Harga berubah-ubah setiap hari. Itu alasan ‘popular’ digunakan segelintir peniaga pasar malam yang tidak mematuhi peraturan dan gagal meletakkan tanda harga pada produk dijual.

Kegiatan mereka itu dikesan dalam operasi khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Raja Alang, bermula jam 8 malam kelmarin.

Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muez Abdul Aziz berkata, selain kesalahan tidak meletakkan tanda harga, peniaga di pasar malam itu juga dikesan menggunakan alat penimbang yang tidak disahkan.

Menurutnya, pihak KPDNKK mengeluarkan 12 kompaun kepada peniaga pasar malam di kawasan itu atas kesalahan dilakukan.

“Sebanyak 41 peniaga diperiksa dalam operasi khas itu. Tindakan mengenakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga 1961 dan Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 8:58 AM