Oleh Ayusliza Azizan
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperkenalkan program keusahawanan Retail 200 bagi membantu usahawan Bumiputera menempatkan diri di kompleks perniagaan berkelas tinggi di negara ini.

Ia adalah satu usaha membantu usahawan Bumiputera yang jarang dilihat di kompleks perniagaan bertaraf tinggi, malah bagi mengangkat kualiti produk yang dibangunkan mereka.

Setiausaha Kerja PKNS Roziah Ahmad berkata, tujuan utama program itu adalah menyediakan usahawan peruncitan berdaya juang, berdaya tahan serta berdaya saing supaya mereka boleh bertahan lama dan terus menjadi usahawan berjaya hingga ke peringkat lebih tinggi.

“Usahawan terbabit akan diberi bimbingan keusahawanan berterusan berteraskan metadologi dan pendekatan sistematik dalam latihan selama dua tahun secara percuma terdiri daripada khidmat nasihat dari segi penjenamaan dan pemasaran.

“Fokus utama adalah untuk mempersiapkan peserta dalam mengukuhkan jenama produk dan kewangan mereka dalam latihan intensif selama enam bulan.

“Kami pula akan menyediakan modul latihan berkenaan serta melantik konsultan yang mempunyai pengalaman melahirkan usahawan Bumiputera berjaya,” katanya ditemui pada Program Retail 200.

Hadir sama Pengurus Besar PKNS Real Estate Fakru Radzi Ab Ghani dan Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS Azilah Arshad.

Mengulas lanjut Roziah berkata, peserta akan ditempatkan di pusat beli-belah terutama milik PKNS seperti di Kompleks PKNS Shah Alam, Pusat Beli-Belah SACC dan Kompleks PKNS Bangi.

Katanya, peserta juga akan dipersiapkan dengan diberi fokus untuk menempatkan diri di pusat beli-belah yang lebih besar seperti Selayang Mall, Petaling Jaya Sentral dan Datum Jelatek yang juga milik PKNS.

“Pihak kami juga menyeru kepada pusat beli-belah terkemuka lain di negara ini untuk tampil bekerjasama dalam menempatkan usahawan Bumiputera ini supaya dapat memperkenalkan produk mereka setanding dengan produk lain,” katanya sambil menyatakan 70 peratus peserta terbabit dalam bidang perniagaan fesyen seperti tudung dan pakaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 9:02 AM