Skip this ad x

Sungai Besar: 1Malaysia Young Boys (1MYB) mampu menjadi platform untuk golongan muda memupuk minat dalam bidang permotoran.

Presidennya Datuk Jamal Md Yunos berkata, menerusi 1MYB, golongan muda berusia 18 tahun ke atas boleh mendapatkan maklumat terkini dalam bidang permotoran melalui aktiviti yang dijalankan.

“1MYB akan menganjurkan pelbagai aktiviti antaranya konvoi, riadah selain permotoran.

“Untuk itu, kami merancang membina 100 bengkel motosikal di seluruh negara supaya ahli 1MYB dapat menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian 1MYB yang disempurnakan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar di Sekinchan, di sini, semalam.

Menurutnya, 1MYB menyasarkan sejuta keahlian dalam tempoh tiga tahun dan kini ia mempunyai 67,000 ahli berdaftar di seluruh negara.

Sementara itu, pengunjung, Muhamad Irshad Shafiq Hashim, 19, berkata, penubuhan 1MYB sesuai untuk golongan muda yang meminati bidang permotoran, namun tidak mempunyai platform khusus.

“Saya harap 1MYB boleh dijadikan tempat golongan muda menyalurkan maklumat berkaitan permotoran selain berkongsi pendapat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 8:21 AM