MANGSA diberikan rawatan awal selepas diserang obor-obor ketika mandi di Pantai Parapat, Tungku sebelum dihantar ke Hospital Tungku.
Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Lahad Datu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menghabiskan cuti hujung minggu dengan mandi-manda di Pantai Parapat, Tungku di sini, bersama ahli keluarga berakhir tragedi apabila terpaksa mengerang kesakitan selepas diserang sekumpulan obor-obor menyebabkannya hampir pitam.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi, Muhd Azmie Baharudin hanya menyedari perkara itu sebaik merasai kesakitan pada bahagian dada sebelum menjerit meminta pertolongan.

Difahamkan, mangsa yang berasa seperti disengat kemudian bergegas menuju ke tepi pantai sambil menjerit kesakitan.

Beberapa pengunjung yang menyedari kejadian itu membantu membawa mangsa ke tepi pantai dan mendapati terdapat kesan merah pada dada dipercayai disengat.

Ahli keluarga mangsa kemudian memaklumkan kepada pengawal pantai sebelum menghubungi pasukan penyelamat untuk memberi rawatan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tungku untuk rawatan lanjut.

Seorang pengunjung yang enggan dikenali berusia 25 tahun berkata, kawasan itu sering menjadi habitat obor-obor.

“Mungkin kanak-kanak itu tidak menyedari terdapat sekumpulan obor-obor di kawasan itu menyebabkannya diserang hidupan laut berkenaan.

“Memang ketika ini musim obor-obor berenang di sekitar pantai mencari makanan,” katanya.

Katanya, pengunjung perlu berhati-hati ketika mandi di kawasan itu berikutan racun obor-obor boleh memudaratkan kesihatan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Negeri (JPAM) Sabah Muliadi Al-Hamdi Ladin berkata, sebaik menerima maklumat, pihaknya segera ke tempat kejadian untuk memberi rawatan.

“Empat anggota bertugas di menara kawalan sekitar pantai itu segera mendapatkan mangsa yang mengerang kesakitan.

“Mangsa sedang berenang dan dilihat segera ke pantai sambil menjerit meminta pertolongan,” katanya.

Menurutnya, mangsa mendakwa diserang dalam air sebelum berasa sakit di dada.

“Dia kemudian segera meninggalkan kawasan itu dan berenang ke pantai meminta bantuan.

“Mangsa diberi rawatan asas sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 10:12 AM