Oleh Gaddafi Musli dan Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Dua pemandu kereta Perodua Myvi yang dipercayai bertanggungjawab menyebabkan kematian tiga beranak dalam insiden kemalangan di Lebuhraya DUKE, awal pagi Sabtu lalu, akan didakwa di Mahkamah Trafik Jalan Duta pagi ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abd Latiff kepada Harian Metro, semalam.

Mengulas lanjut, Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, dua pemandu itu masing-masing seorang lelaki berusia 31 tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun akan dihadapkan ke mahkamah pada jam 9 pagi.

Katanya, siasatan dijalankan daripada pelbagai sudut dengan mengambil kira bagaimana perlanggaran berlaku serta mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai menjadi punca kemalangan.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 11 individu sudah dirakam keterangan termasuk dua pemandu terbabit dan saksi utama kejadian.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.05 pagi Sabtu lalu, sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 6.3 Lebuhraya DUKE di sini.

Pemandunya, Fairuz Nizam Husain, 35, disahkan terbunuh di tempat kejadian manakala isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa berusia tujuh bulan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sementara itu, adik arwah Fairuz, Muhammad Faizznurr Asyraf Husain, 25, berkata, biar proses perundangan berjalan dan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.

“Saya tidak mahu memberikan sebarang komen lanjut kerana buat masa ini kami sekeluarga mahu memberi fokus kepada Amira dan Aqila,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pendakwaan terhadap dua pemandu kereta Myvi itu.

Menurutnya fokus mereka kini memberi keselesaan dan keceriaan dua anak mangsa iaitu Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4.

“Yang penting dua beradik ini kembali bersemangat menjalani kehidupan, malah mereka kini sudah boleh ketawa dan tidur dengan lena,” katanya.

Faizznur berkata, kunjungan ramai pihak termasuk orang kenamaan dan selebriti seperti Datuk Siti Nurhaliza ke kediaman keluarga di Taman Batu Muda banyak memberi impak positif kepada dua beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:43 AM