MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.
Oleh Asmah Rusman

Kajang: “Saya terdengar bunyi yang sangat kuat dan terkejut apabila melihat seorang lelaki terbaring di atas timbunan batu pada ketinggian lebih tiga meter,” kata lelaki mahu dikenali sebagai Ahcmed, saksi kejadian binaan runtuh di Jalan Mendaling, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, seorang buruh binaan berusia 60 tahun maut dihempap dinding selepas bangunan rumah kedai berhampiran Hotel Kajang yang dalam pembinaan runtuh.

Menurut Achmed, dia baru melintas lokasi kejadian untuk ke sebuah kedai dan ketika itu konkrit dipijak mangsa kelihatan bergoyang dipercayai tiupan angin yang sangat kuat.

“Saya nampak tempat mangsa dan rakannya berdiri itu bergoyang, malah mereka juga menyedari perkara itu dan sedang bersiap untuk turun malangnya mereka tidak sempat berbuat apa-apa kerana ia runtuh sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata ketika kejadian, mangsa, Rusdi Mas’un dari Shah Alam cedera parah di kepala dipercayai akibat dihempap batu.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa bersama seorang rakan yang dikenali sebagai Halik, 40, sedang melakukan kerja menampal simen pada dinding di tingkat tiga bangunan itu.

“Mereka berdiri pada konkrit balkoni yang dibina sementara untuk memudahkan mereka melakukan kerja binaan dan menampal simen pada dinding tingkat tiga bangunan bagaimanapun binaan itu tidak kukuh dan runtuh.

“Mangsa yang berdiri di tengah balkoni itu terjatuh bersama konkrit berkenaan manakala rakannya sempat terjun menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang meninjau lokasi kejadian.

Ab Rashid berkata, mangsa berasal dari Indonesia dan memiliki taraf warga negara selepas menetap lebih 30 tahun di negara ini dan baru dua minggu melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pada bangunan terbabit yang dijangka akan tamat Januari tahun depan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 10:49 AM